Wednesday, October 15, 2008

ISU AKIDAH ISLAM


UMAT ISLAM TERJEBAK KE DALAM FAHAMAN DAN AJARAN SESAT

Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumul) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ‘anhu yang bermaksud :“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Qur‘an) dan sunnah RasulNya”.(Hadis riwayat Malik)

Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang akidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan.

Di negara kita, berdasarkan kajian dan penyelidikan serta penyiasatan pihak-pihak berkenaan terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang pernah aktif dan mengancam akidah umat Islam, kebanyakan dari mereka terlibat dengan amalan-amalan yang meragukan dan bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun dengan usaha pemantauan yang gigih dari pihak berwajib, kumpulan-kumpulan tersebut telah dapat ditumpaskan dari terus berkembang.

Umat Islam sekarang terdedah dengan berbagai ancaman daripada anasir-anasir yang memesongkan akidah umat Islam kepada perkara-perkara mungkar. Mereka memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng dari landasan dan akidah Islam.

Penyelewengan tersebut kebiasaannya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian ia mula meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak merasakan ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada akidah Islam yang sebenarnya.Sebilangan umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan fahaman yang berselindung di sebalik label Islam yang mereka amalkan, golongan yang terperangkap dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononnya para pengikut akan memperolehi keistemewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-persoalan ghaib dan sebagainya sama ada melalui perbomohan atau lainnya.Masyarakat Islam perlu mengetahui dan memahami keriteria-keriteria ajaran sesat itu supaya terhindar dari penyelewengan dan sentiasa berada di atas jalan yang betul tanpa sebarang keraguan.

No comments: