Wednesday, October 15, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM

KEMERDEKAAN; RAHMAT DAN REZEKI DARI ALLAH

Tatkala mengimbau kembali catatan di lembaran sejarah, betapa perit dan deritanya pejuang-pejuang bangsa sama ada di zaman Tok Janggut, Ibahim Limbong dan Dol Said (sekadar menyebut beberapa nama) dalam keinginan untuk membebaskan bangsa dan tanah kita dari dijajah orang asing. Hinggalah ke saat-saat akhir detik kemerdekaan dicapai, betapa sang cerdik pandai bekerjasama memerah otak dan tenaga untuk mendapatkan kemerdekaan yang bermakna. Generasi masa itu melihat, mendengar, merasa dan berjuang dengan jiwa raga mereka. Apakah sama dengan pemikiran dan perasaan generasi anak merdeka tentang kemerdekaan yang telah sedia ada?

Kemerdekaan negara adalah rahmat dan rezeki dari Allah SWT. 50 tahun adalah usia yang
cukup mematangkan anak-anak merdeka menimba ilmu, mencari harta, membina masyarakat dan membangunkan negara. Tidak sia-sia usaha pemimpin dan rakyat jelata dahulu berganding bahu berusaha mencari jalan bagaimana untuk membebaskan Tanah Melayu ini dari genggaman orang luar setelah sekian lama mereka bertukar tangan di bawah penjajahan. Dari bentuk-bentuk agresif hinggalah ke bentuk perundingan berhemah. Proses yang bersungguh-sungguh itu membuahkan hasil dan dengan izin Allah SWT kemerdekaan itu milik kita, lebih dahulu dari negara lain yang turut sama dijajah oleh bangsa Eropah yang lain. Maka rasa kesyukuran dan kehambaan perlulah kita panjatkan kepada-Nya. Kerana Dialah yang berkuasa di atas segala-galanya.

Pengalaman Malaysia yang bermasyarakat majmuk dalam membentuk perpaduan sepatutnya menjadi satu kebanggaan yang bukan untuk dimegahkan tetapi dijaga agar perpaduan itu bukan menjadi api dalam sekam. Sebagai anak merdeka kita perlu sentiasa berusaha dan bermohon agar kemerdekaan itu kekal milik kita walaupun kita tahu musuh sentiasa mengintai peluang untuk mencampuri urusan hidup kita dan mengkucarkacirkan kedamaian yang kita kecapi. Terlalu banyak contoh-contoh peristiwa yang boleh menggugatkan perpaduan di negara kita dari peristiwa 13 Mei 1969, pergaduhan di Kampung Medan, Artikel 11 dan banyak lagi perkara yang tidak boleh disebut secara terang-terangan takut menjadi satu provokasi yang boleh mengundang ketidakpuasan hati antara kaum di negara ini. Dan ia akan mencetuskan polemik yang boleh menggugat perpaduan atau mencetuskan persengketaan. Dan secara tidak langsung, prinsip rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan sebagai sandaran agar hati semua pihak terjaga untuk terus mengawasi kedamaian dan ketenangan yang wujud pada hari ini agar tidak terjadi gempa yang melambungkan tsunami yang memakan korban.

Apa yang perlu kita ambil berat ialah bagaimana untuk mengekalkan kemerdekaan. Gelaran dan hakikat kemerdekaan ini perlulah diusahakan untuk terus dipelihara dan dipulihara. Bukan sekadar slogan melambangkan kegembiraan dan kemeriahan tetapi menghayatinya; bukan juga sekadar mengejar peluang memasuki peraduan-peraduan dan pertandingan-pertandingan sempena sambutan Hari Kemerdekaan, tetapi apakah makna kita sebagai anak merdeka? Apakah sumbangan kita untuk menggambarkan kesyukuran terhadap sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia? Ketika ini kita melihat suasana aman adalah milik kita, kita melihat betapa murahnya rezeki berbentuk sumber makanan, industri kecil, sederhana dan perniagaan yang besar-besar dapat diusahakan dengan jayanya. Tanpa ditimpa penyakit berjangkit yang kronik, tanpa ada hujan banjir, ribut taufan atau kemarau kontang yang berpanjangan seperti kita lihat di kaca televisyen dan lembaran-lembaran akhbar. Betapa sengasaranya mereka ditimpa bencana sedemikian rupa. Tetapi ingatlah, bahawasanya Allah tidak menurunkan bala bencana dan cubaan itu sia-sia. Dan ia merupakan hasil kerosakan yang mereka lakukan sendiri seperti kufur nikmat, tidak bersyukur, tidak menunaikan hak fakir miskin dan anak yatim serta sesiapa yang memerlukan hajat dan meninggalkan ketaatan kepada Allah pencipta segala makhluk. Kita juga perlu diperingatkan agar mengambil iktibar dari kisah kaum-kaum terdahulu yang dibinasakan Allah, seperti firman Allah Hud : 100-101
”Demikian itulah riwayat (penduduk) beberapa negeri. Kami menceritakan kepada engkau; di antara mereka ada yang masih berdiri dan ada yang telah binasa. Kami tiada menganiayai mereka, tetapi mereka yang menganiayai diri mereka sendiri, maka tiada bermanfaat bagi mereka sedikit pun, tuhan-tuhan yang mereka sembah selain dari Allah, tatkala datang siksaan Tuhanmu. Mereka tiada mendapat tambahan selain dari kebinasaan.”

Kita menyebut dan membincangkan perkara-perkara yang menakutkan dan menggerunkan ini supaya kita berfikir secara realistik dan tidak berangan-angan terlalu jauh sampai kita tidak mahu mendengar atau menyebut kemungkinan yang buruk. Sedangkan perkara-perkara yang kita anggap kecil atau terpencil mungkin menjadi barah yang akhirnya apabila kita sedar ianya sudah kronik dan tidak dapat dirawat lagi. Dan mungkin perkara-perkara itulah yang menyebabkan kita kehilangan harga dan nilai sebuah kemerdekaan. Kalau kita tidak mahu memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan cukuplah kita mengambil iktibar dengan masa yang lalu, menganalisa sebab-musabab keruntuhan tamadun, kehancuran empayar dan kejatuhan kerajaan-kerajaan masa lampau. Apa yang kita perhatikan kejatuhan, keruntuhan dan kebinasaan disebabkan oleh beberapa perkara dan kebiasaannya disebabkan oleh perebutan kuasa sesama sendiri, mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, anak bangsa yang sudah lupa dengan jati diri dan nilai tatasusila agama serta budaya murni dan sebagainya walaupun negara dalam kemewahan dan kegemilangan. Maka kita takut sejarah seperti itu berulang kembali, ’takut Melaka jatuh ke tangan Portugis sekali lagi’, ’takut Tanah Segenting Kera diserahkan kepada Siam buat kali keduanya’ dan ’takut negeri-negeri Selat diberi kepada British ke sekian kalinya’. Walaupun orang menyatakan hidup ibarat roda sekali di atas sekali di bawah, yang bernyawa pasti mati, tetapi janganlah kita menjadi roda yang terlalu cepat haus permukaannya atau menjadi kulit yang berkedut sebelum tua usianya.

Kesimpulannya, apa yang kita bicarakan di sini adalah untuk kita menyedari bahawa kemerdekaan itu adalah anugerah, rezeki, rahmat dan nikmat dari Allah. Yang wajib kita syukuri, sekaligus berusaha menghargai dan menilai sejarah lalu menjadikannya tauladan dan sempadan agar kemerdekaan itu mampu dikekalkan selama mungkin sama ada secara hakikat atau rohnya, fizikal atau spritualnya, tanahnya atau jatidiri bangsanya.

No comments: