
MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN
Pelancongan keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasarkan pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28).
Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid. Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”
Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu. Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat. Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia yang mempunyai hampir 3 juta pengunjung ke sana.
Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi. Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain. Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.
Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18).
No comments:
Post a Comment