Wednesday, October 15, 2008

ISU NEGARA ISLAM

AGAMA ISLAM DAN KEDUDUKAN DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sejak kebelakangan ini banyak pihak yang memperkatakan berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, malah ada juga yang cuba mempertikaikannya. Sedangkan kita sekarang ini berada dalam kemeriahan untuk menyambut kemerdekaan ke 51 tahun pada 31 Ogos 2008 yang lalu. Seharusnya perkara yang telahpun menjadi kontrak sosial bersama selama ini tidak lagi perlu dipertikaikan. Justeru itu, penulisan ini dibuat bagi berkongsi maklumat berkaitan Islam dan kedudukannya dalam perlembagaan negara kita Malaysia.

Perbincangan berkaitan Agama dan Perlembagaan ini perlu diteliti dari segi sejarahnya. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah lama berlaku. Manakala semasa penggubalan Perlembagaan yang di lakukan oleh Suruhanjaya Reid itu sendiripun turut mengambil kira berkaitan dengan agama sebagai salah satu elemen bagi membentuk perlembagaan negara ini.

Mahkamah dan keputusan berkaitan dengannya juga turut mempengaruhi bagaimana penaksiran berkaitan kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan. Setiap kes yang di bawa dan di berikan keputusan oleh mahkamah mempengaruhi pandangan terhadap kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan negara. Oleh itu, pertikaian dan perbincangan berkaitan kedudukannya dalam perlembagaan hangat di perkatakan setelah berlaku pelbagai kes terutama berkaitan dengan penganut agama Islam di Malaysia. Bukan sahaja berkaitan pertukaran agama lain ke agama Islam tetapi juga kes melibatkan penganut Islam yang murtad daripada agama Islam. Isu ini timbul setelah beberapa kes di bawa ke mahkamah contohnya kes Aishah Bukhari, Hartina Haji Kamarudin, Mohamad Syazani Yusof, Lina Joy dan lain-lain.

Perkara utama di sini ialah kefahaman berkaitan dengan perlembagaan itu adalah penting. Masyarakat tidak faham apabila mereka tidak belajar dan mengetahui perkara yang sebenarnya ditafsirkan oleh perlembagaan itu. Agama Islam itu adalah bersifat universal, bukan hanya anutan sesuatu kaum sahaja. Sebaliknya untuk semua umat manusia. Oleh itu pendidikan berkaitan Perlembagaan negara perlu bermula daripada sekolah. Ini akan membentuk masyarakat yang mengetahui hak dan keperluan sebagai warganegara dan juga hak Negara terhadap individu yang menjadi warganegaranya.

No comments: