Wednesday, October 15, 2008

ISU POLITIK ISLAM

ISLAM HARAMKAN RASUAH KERANA CETUS KEZALIMAN

Amalan rasuah membabitkan penyalahgunaan kuasa atau mengambil manfaat yang bercanggah dengan undang-undang dan moral manusia. Amalan rasuah adalah penyakit tertua manusia seperti juga pelacoran.

Menurut statistik Badan Pencegah Rasuah (BPR), pada 2007 sebanyak 590 tangkapan dibuat manakala pada Januari lalu saja 80 kes dilakukan. Apa yang membimbangkan ialah jika rasuah terus berleluasa, dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara.

Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar dalam perbelanjaan tetapi sumber kewangan sedikit, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan cepat, sifat tamak haloba dan amat meyakini mengamalkan rasuah dapat dielakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang. Hakikatnya mereka yang mengamalkan rasuah mempunyai kualiti moral rendah, tidak mempunyai harga diri dan sanggup menggadai integriti sebagai manusia demi untuk mencapai matlamat salah. Dalam sesebuah organisasi, kadang kala pengamal rasuah mempamerkan penampilan diri yang hebat hingga mampu menenggelamkan sifat tersembunyi dirinya yang bercanggah dengan budaya pengurusan.

Langkah awal untuk mengesan pengamal rasuah ialah memantau gaya hidup dan memerhatikan laporan perisytiharan harta. Jika nyata ada keraguan yang munasabah, maka aduan perlu dibuat kepada pihak berkuasa supaya siasatan dilakukan. Islam memberi amaran keras kepada manusia supaya tidak terbabit dengan perbuatan rasuah. Islam mengharamkan mengaut harta orang lain secara rasuah sedangkan menyedari perbuatan itu berdosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan.”(Hadis riwayat Ahmad) Islam mengharamkan rasuah kerana menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menghapuskan peluang mereka yang sepatutnya layak dan penyebaran harta di kalangan pihak tertentu saja. Selain itu, kita bimbang gaya hidup rasuah akan mempengaruhi tabiat integriti keturunan akan datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka.”(Hadis riwayat Baihaqi dan Tirmizi). Berdasarkan hadis itu jelas ada kaitan kuat bahawa keturunan dan anak pinak yang bersumber daripada darah daging haram akan kemungkinan besar terpengaruh dengan gaya hidup menjerumuskan ke dalam api neraka. Sebagai ibu bapa beriman apakah kita rela mewariskan dan menanamkan kesinambungan sifat keji dalam diri keluarga kita.Dasar Islam dalam pekerjaan adalah jelas. Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mengumpul kekayaan. Oleh itu Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha supaya mereka menjadi umat terbaik dan contoh kepada pihak lain.

Apa yang nyata, dasar Islam dalam pekerjaan bertujuan membawa rahmat kepada manusia sejagat iaitu memberi perkhidmatan memuaskan kepada pelanggan dan masyarakat. Jika semangat berzakat dan bersedekah diamalkan serta menjauhi tabiat meminta-minta dan rasuah maka warga organisasi mampu mewujudkan organisasi hebat dan cemerlang kepada pelanggan serta masyarakat. Dalam usaha mewujudkan kesinambungan keluarga yang beriman dan berfungsi sebagai pembawa rahmat kepada organisasi serta pelanggan, maka renungilah peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji.” (Hadis riwayat Ahmad).

ISU SUKAN ISLAM

ATLET WANITA BANGGA BERTUDUNG

RAMAI di kalangan atlet wanita Islam pada Sukan Olimpik Beijing memecahkan stereotaip Barat, dengan membuktikan pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang pembabitan mereka dalam aktiviti sukan dan kehidupan.

“Tudung tidak sekali-kali memberikan masalah kepada saya,” kata pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah bagi atlet wanita Islam selepas memenangi pingat emas Sukan Asia Barat 2006 kepada Reuters, Isnin lalu.

Temasya berkenaan yang bermula 8 Ogos lalu, akan memperlihatkan ramai wanita Islam berazam untuk mematuhi etika berpakaian berlandaskan agama ketika memburu emas di kejohanan berprestij itu.

Enam atlet wanita yang bertudung adalah dari Mesir, tiga atlet Iran, masing-masing seorang dari Afghanistan dan Yaman, mengambil bahagian dalam acara larian, dayung, taekwondo dan memanah.Ruqaya dan pendayung Iran, Homa Hosseini mendapat penghormatan kerana terpilih sebagai pembawa bendera bagi negara masing-masing pada majlis pembukaan sukan itu.

Dalam Islam, tudung adalah etika pakaian yang wajib bagi wanita dan bukannya simbol keagamaan, sebagaimana dikritik hebat di Barat, kebelakangan ini.Januari lalu, seorang pelari Islam dari sekolah tinggi Amerika ditarik keluar daripada pertandingan peringkat tempatan kerana memakai tudung.

Pada Mac tahun lalu, penggubal dasar Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), menyatakan tudung dilarang dalam sukan bola sepak.Peraturan itu dibuat selepas seorang pemain Islam Kanada digantung daripada sukan bola sepak kerana memakai tudung. Seorang kanak-kanak Kanada berusia 11 tahun juga dinafikan daripada menyertai acara Judo kebangsaan November tahun lalu kerana memakai tudung.Pemain pedang Mesir, Shaimaa El-Gammal, bagi kali ketiga di temasya Olimpik, memakai tudung bagi kali pertama dalam perlawanan. “Apabila saya berlawan pedang, saya bangga kerana saya seorang Islam,” kata wanita berusia 28 tahun itu. Ia sangat simbolik bagi wanita di negara saya,” katanya.Bagi Shaimaa, pemakaian tudung memberikan kekuatan dalaman kepadanya.“Orang melihat kami memakai tudung dan berfikir kami menunggang unta. Tetapi wanita Islam boleh melakukan apa saja yang mereka kehendaki,” katanya.

Kaum wanita di tanah air Ruqaya, iaitu di Bahrain sangat bangga dengan pelari negara terbabit yang menjadi perintis dalam temasya Olimpik itu.Sesetengah mereka bersepakat untuk mereka dan menjahit tudung khas berbentuk aero dinamik bagi membantu atlet mereka beraksi cemerlang dalam sukan terbabit.“Di Bahrain anda membesar dengannya,” kata Ruqaya, yang selalu memakai tudung berwarna putih dan merah, menyerupai warna bendera negaranya.“Kami mempunyai wanita yang menjadi duta, doktor dan juruterbang. Pada saya, ia adalah kebebasan,” katanya.

ISU NEGARA ISLAM

AGAMA ISLAM DAN KEDUDUKAN DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sejak kebelakangan ini banyak pihak yang memperkatakan berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, malah ada juga yang cuba mempertikaikannya. Sedangkan kita sekarang ini berada dalam kemeriahan untuk menyambut kemerdekaan ke 51 tahun pada 31 Ogos 2008 yang lalu. Seharusnya perkara yang telahpun menjadi kontrak sosial bersama selama ini tidak lagi perlu dipertikaikan. Justeru itu, penulisan ini dibuat bagi berkongsi maklumat berkaitan Islam dan kedudukannya dalam perlembagaan negara kita Malaysia.

Perbincangan berkaitan Agama dan Perlembagaan ini perlu diteliti dari segi sejarahnya. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah lama berlaku. Manakala semasa penggubalan Perlembagaan yang di lakukan oleh Suruhanjaya Reid itu sendiripun turut mengambil kira berkaitan dengan agama sebagai salah satu elemen bagi membentuk perlembagaan negara ini.

Mahkamah dan keputusan berkaitan dengannya juga turut mempengaruhi bagaimana penaksiran berkaitan kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan. Setiap kes yang di bawa dan di berikan keputusan oleh mahkamah mempengaruhi pandangan terhadap kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan negara. Oleh itu, pertikaian dan perbincangan berkaitan kedudukannya dalam perlembagaan hangat di perkatakan setelah berlaku pelbagai kes terutama berkaitan dengan penganut agama Islam di Malaysia. Bukan sahaja berkaitan pertukaran agama lain ke agama Islam tetapi juga kes melibatkan penganut Islam yang murtad daripada agama Islam. Isu ini timbul setelah beberapa kes di bawa ke mahkamah contohnya kes Aishah Bukhari, Hartina Haji Kamarudin, Mohamad Syazani Yusof, Lina Joy dan lain-lain.

Perkara utama di sini ialah kefahaman berkaitan dengan perlembagaan itu adalah penting. Masyarakat tidak faham apabila mereka tidak belajar dan mengetahui perkara yang sebenarnya ditafsirkan oleh perlembagaan itu. Agama Islam itu adalah bersifat universal, bukan hanya anutan sesuatu kaum sahaja. Sebaliknya untuk semua umat manusia. Oleh itu pendidikan berkaitan Perlembagaan negara perlu bermula daripada sekolah. Ini akan membentuk masyarakat yang mengetahui hak dan keperluan sebagai warganegara dan juga hak Negara terhadap individu yang menjadi warganegaranya.

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

IBU TANPA NIKAH

Ibu tanpa nikah merujuk kepada wanita yang melahirkan anak tanpa nikah, sama ada perhubungan sexsual dengan pasangan itu, suka sama suka ataupun diperkosa. Isu sosial ini menjadi satu persoalan dan permasalahan yang besar kepada pembentukan generasi masyarakat yang akan datang. Bukan sahaja masalah kepada ibu tetapi kepada anak yang dilahirkan itu tanpa bapa. Ini akan membawa lebih banyak masalah sosial akan timbul.

Ibu itu sendiri akan mengalami trauma, kemurungan dan fikiran terganggu serta tertekan, jika tiada pihak yang membantu ibu dan mengambil langkah susulan agar ibu itu sedar dan insaf di atas kesilapan mungkin ianya akan terus berlaku dan berlaku lagi. Kepada bayi yang dilahirkan itu sudah pasti akan hidup tanpa ayah yang sah atau dipanggil anak tidak sah taraf. Namun jika ada keluarga angkat yang mengambil sebagai anak angkat mungkin situasi kehidupan bayi itu berbeza.

Persoalannya kenapa masalah ibu tanpa nikah ini, boleh muncul dan ada dikalangan masyarakat kita yang majoritinya orang Melayu beragama Islam. Di manakah hilangnya nilai-nilai ketimuran dan adat kesopanan orang timur sehinggakan lahirnya bayi tanpa ayah. Jika di Barat mungkin ini sesuatu yang biasa, kerana barat membenarkan pasangan hidup bersama tanpa nikah dan melahirkan anak.

Pada pandangan saya isu ini jika tidak dibasmi secara bersungguh-sungguh oleh setiap individu, keluarga, masyarakat, pemimpin dan pihak berwajib ianya akan menjadi lebih parah dan sukar dikawalnya. Punca utama terjadinya isu tersebut adalah kerana faktor keruntuhan institusi kekeluargaan, kurangnya didikan agama, pergaulan bebas, bahan-bahan lucah dan individu berkenaan yang mempunyai minda yang lemah dan kurang ilmu pendidikan.

Kesimpulannya, ibu tanpa nikah adalah satu isu yang besar dan perlu dibasmi agar kita dapat melahirkan satu generasi yang cemerlang dalam proses membangunkan negara. Hidup dan bangunkan semula institusi kekeluargaan yang cemerlang dan hebat. Kita boleh diibaratkan satu keluarga adalah satu negeri yang perlu ditadbir oleh ayah, ibu dan anak-anak dengan cara yang bijak dan cemerlang, barulah mampu melahirkan insan-insan yang cemerlang dan anak-anak mampu bertindak secara bijak dalam menjalani kehidupan seharian.

ISU PENGHAYATAN ISLAM

KEMERDEKAAN; RAHMAT DAN REZEKI DARI ALLAH

Tatkala mengimbau kembali catatan di lembaran sejarah, betapa perit dan deritanya pejuang-pejuang bangsa sama ada di zaman Tok Janggut, Ibahim Limbong dan Dol Said (sekadar menyebut beberapa nama) dalam keinginan untuk membebaskan bangsa dan tanah kita dari dijajah orang asing. Hinggalah ke saat-saat akhir detik kemerdekaan dicapai, betapa sang cerdik pandai bekerjasama memerah otak dan tenaga untuk mendapatkan kemerdekaan yang bermakna. Generasi masa itu melihat, mendengar, merasa dan berjuang dengan jiwa raga mereka. Apakah sama dengan pemikiran dan perasaan generasi anak merdeka tentang kemerdekaan yang telah sedia ada?

Kemerdekaan negara adalah rahmat dan rezeki dari Allah SWT. 50 tahun adalah usia yang
cukup mematangkan anak-anak merdeka menimba ilmu, mencari harta, membina masyarakat dan membangunkan negara. Tidak sia-sia usaha pemimpin dan rakyat jelata dahulu berganding bahu berusaha mencari jalan bagaimana untuk membebaskan Tanah Melayu ini dari genggaman orang luar setelah sekian lama mereka bertukar tangan di bawah penjajahan. Dari bentuk-bentuk agresif hinggalah ke bentuk perundingan berhemah. Proses yang bersungguh-sungguh itu membuahkan hasil dan dengan izin Allah SWT kemerdekaan itu milik kita, lebih dahulu dari negara lain yang turut sama dijajah oleh bangsa Eropah yang lain. Maka rasa kesyukuran dan kehambaan perlulah kita panjatkan kepada-Nya. Kerana Dialah yang berkuasa di atas segala-galanya.

Pengalaman Malaysia yang bermasyarakat majmuk dalam membentuk perpaduan sepatutnya menjadi satu kebanggaan yang bukan untuk dimegahkan tetapi dijaga agar perpaduan itu bukan menjadi api dalam sekam. Sebagai anak merdeka kita perlu sentiasa berusaha dan bermohon agar kemerdekaan itu kekal milik kita walaupun kita tahu musuh sentiasa mengintai peluang untuk mencampuri urusan hidup kita dan mengkucarkacirkan kedamaian yang kita kecapi. Terlalu banyak contoh-contoh peristiwa yang boleh menggugatkan perpaduan di negara kita dari peristiwa 13 Mei 1969, pergaduhan di Kampung Medan, Artikel 11 dan banyak lagi perkara yang tidak boleh disebut secara terang-terangan takut menjadi satu provokasi yang boleh mengundang ketidakpuasan hati antara kaum di negara ini. Dan ia akan mencetuskan polemik yang boleh menggugat perpaduan atau mencetuskan persengketaan. Dan secara tidak langsung, prinsip rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan sebagai sandaran agar hati semua pihak terjaga untuk terus mengawasi kedamaian dan ketenangan yang wujud pada hari ini agar tidak terjadi gempa yang melambungkan tsunami yang memakan korban.

Apa yang perlu kita ambil berat ialah bagaimana untuk mengekalkan kemerdekaan. Gelaran dan hakikat kemerdekaan ini perlulah diusahakan untuk terus dipelihara dan dipulihara. Bukan sekadar slogan melambangkan kegembiraan dan kemeriahan tetapi menghayatinya; bukan juga sekadar mengejar peluang memasuki peraduan-peraduan dan pertandingan-pertandingan sempena sambutan Hari Kemerdekaan, tetapi apakah makna kita sebagai anak merdeka? Apakah sumbangan kita untuk menggambarkan kesyukuran terhadap sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia? Ketika ini kita melihat suasana aman adalah milik kita, kita melihat betapa murahnya rezeki berbentuk sumber makanan, industri kecil, sederhana dan perniagaan yang besar-besar dapat diusahakan dengan jayanya. Tanpa ditimpa penyakit berjangkit yang kronik, tanpa ada hujan banjir, ribut taufan atau kemarau kontang yang berpanjangan seperti kita lihat di kaca televisyen dan lembaran-lembaran akhbar. Betapa sengasaranya mereka ditimpa bencana sedemikian rupa. Tetapi ingatlah, bahawasanya Allah tidak menurunkan bala bencana dan cubaan itu sia-sia. Dan ia merupakan hasil kerosakan yang mereka lakukan sendiri seperti kufur nikmat, tidak bersyukur, tidak menunaikan hak fakir miskin dan anak yatim serta sesiapa yang memerlukan hajat dan meninggalkan ketaatan kepada Allah pencipta segala makhluk. Kita juga perlu diperingatkan agar mengambil iktibar dari kisah kaum-kaum terdahulu yang dibinasakan Allah, seperti firman Allah Hud : 100-101
”Demikian itulah riwayat (penduduk) beberapa negeri. Kami menceritakan kepada engkau; di antara mereka ada yang masih berdiri dan ada yang telah binasa. Kami tiada menganiayai mereka, tetapi mereka yang menganiayai diri mereka sendiri, maka tiada bermanfaat bagi mereka sedikit pun, tuhan-tuhan yang mereka sembah selain dari Allah, tatkala datang siksaan Tuhanmu. Mereka tiada mendapat tambahan selain dari kebinasaan.”

Kita menyebut dan membincangkan perkara-perkara yang menakutkan dan menggerunkan ini supaya kita berfikir secara realistik dan tidak berangan-angan terlalu jauh sampai kita tidak mahu mendengar atau menyebut kemungkinan yang buruk. Sedangkan perkara-perkara yang kita anggap kecil atau terpencil mungkin menjadi barah yang akhirnya apabila kita sedar ianya sudah kronik dan tidak dapat dirawat lagi. Dan mungkin perkara-perkara itulah yang menyebabkan kita kehilangan harga dan nilai sebuah kemerdekaan. Kalau kita tidak mahu memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan cukuplah kita mengambil iktibar dengan masa yang lalu, menganalisa sebab-musabab keruntuhan tamadun, kehancuran empayar dan kejatuhan kerajaan-kerajaan masa lampau. Apa yang kita perhatikan kejatuhan, keruntuhan dan kebinasaan disebabkan oleh beberapa perkara dan kebiasaannya disebabkan oleh perebutan kuasa sesama sendiri, mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, anak bangsa yang sudah lupa dengan jati diri dan nilai tatasusila agama serta budaya murni dan sebagainya walaupun negara dalam kemewahan dan kegemilangan. Maka kita takut sejarah seperti itu berulang kembali, ’takut Melaka jatuh ke tangan Portugis sekali lagi’, ’takut Tanah Segenting Kera diserahkan kepada Siam buat kali keduanya’ dan ’takut negeri-negeri Selat diberi kepada British ke sekian kalinya’. Walaupun orang menyatakan hidup ibarat roda sekali di atas sekali di bawah, yang bernyawa pasti mati, tetapi janganlah kita menjadi roda yang terlalu cepat haus permukaannya atau menjadi kulit yang berkedut sebelum tua usianya.

Kesimpulannya, apa yang kita bicarakan di sini adalah untuk kita menyedari bahawa kemerdekaan itu adalah anugerah, rezeki, rahmat dan nikmat dari Allah. Yang wajib kita syukuri, sekaligus berusaha menghargai dan menilai sejarah lalu menjadikannya tauladan dan sempadan agar kemerdekaan itu mampu dikekalkan selama mungkin sama ada secara hakikat atau rohnya, fizikal atau spritualnya, tanahnya atau jatidiri bangsanya.

ISU MAKANAN DAN MINUMAN ISLAM



BOIKOT PRODUK YAHUDI DALAM PANDANGAN ISLAM

Kempen boikot produk Yahudi dan Amerika kini bagaikan hampir-hampir berkubur tanpa nisan di kalangan umat Islam khususnya orang Islam di Malaysia. Tidak dinafikan, kesedaran dan sensitiviti ummah cukup tinggi terhadap isu yang melanda saudara seaqidah di seantero dunia, namun adakah cukup dengan laungan beremosi dan pelekat tanda sokongan bisu tanpa istiqamah dalam praktik?

Lihat pula umat Islam sekarang ni. Masih ramai yang tidak segan-segan melangkah masuk dan memesan makanan di rangkaian pembiaya kelengkapan senjata pembunuh muslim Palestin seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan sebagainya. Tangan ringan sahaja membeli air Pepsi, Coca Cola dan yang seumpama dengannya. Itu belum lagi disentuh bab pakaian, barangan dapur, alat solek dan sebagainya. Terlupakah kita pada hujaman peluru dan mortar yang membinasakan warga Muslim Palestin, Iraq, Afghanistan tanpa mengira tua, muda, wanita dan anak kecil? Kalau ada pun, tenggelam timbul dan terus lenyap dengan pelbagai ungkapan dan alasan.

Kita seharusnya memahami bahawa setiap sen duit yang kita belanjakan untuk membeli produk Yahudi dan Amerika adalah ibarat menyediakan butiran-butiran peluru yang bakal membunuh saudara kita di Palestin. Sedarkah kita bahawa tindakan memboikot barangan mereka akan melemahkan sumber biayai kepada kezaliman mereka? Selain merealisasikan tuntutan amal seiring ilmu(tahu) dan iman, kempen yang diuar-uarkan satu ketika dahulu menggesa kepada kemajuan ekonomi ummah. Jelas, pada setiap barangan musuh, ada barang alternatif yang kini boleh dijadikan pilihan. Dan sekian banyak produk-produk baru, semua itu, muncul atas kesedaran pengusaha Muslim demi memenuhi keperluan umat Islam.

Kita barangkali tidak mampu memikul senjata atau bersama-sama saudara kita berjihad di bumi mereka yang cabuli musuh Islam. Tetapi malangnya kita juga memberi saham membantu musuh membunuh nyawa mereka.Kita lupa bahawa sokongan dan praktik secara sungguh-sungguh terhadap kempen boikot merupakan salah satu strategi Jihad membantu memenangkan perjuangan Islam sebagaimana yang pernah berlaku di zaman Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam, junjungan kita.

Memboikot barangan Yahudi tersenarai di antara usaha yang disifatkan sebagai "maka hendaklah dia mencegah dengan tangan" dan membantu melemahkan kuasa ekonomi Yahudi. Walaupun nampak mudah namun ianya merupakan satu sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.Ia bertepatan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi yang menyatakan : " 1 rial(ringgit) untuk produk Amerika Syarikat (Yahudi), sama dengan 1 peluru untuk tubuh saudaramu di Palestin ". Beliau menggesa umat Islam di serata dunia agar tidak membeli barangan Yahudi dan sekutunya.

ISU AKIDAH ISLAM


UMAT ISLAM TERJEBAK KE DALAM FAHAMAN DAN AJARAN SESAT

Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumul) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ‘anhu yang bermaksud :“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Qur‘an) dan sunnah RasulNya”.(Hadis riwayat Malik)

Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang akidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan.

Di negara kita, berdasarkan kajian dan penyelidikan serta penyiasatan pihak-pihak berkenaan terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang pernah aktif dan mengancam akidah umat Islam, kebanyakan dari mereka terlibat dengan amalan-amalan yang meragukan dan bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun dengan usaha pemantauan yang gigih dari pihak berwajib, kumpulan-kumpulan tersebut telah dapat ditumpaskan dari terus berkembang.

Umat Islam sekarang terdedah dengan berbagai ancaman daripada anasir-anasir yang memesongkan akidah umat Islam kepada perkara-perkara mungkar. Mereka memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng dari landasan dan akidah Islam.

Penyelewengan tersebut kebiasaannya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian ia mula meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak merasakan ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada akidah Islam yang sebenarnya.Sebilangan umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan fahaman yang berselindung di sebalik label Islam yang mereka amalkan, golongan yang terperangkap dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononnya para pengikut akan memperolehi keistemewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-persoalan ghaib dan sebagainya sama ada melalui perbomohan atau lainnya.Masyarakat Islam perlu mengetahui dan memahami keriteria-keriteria ajaran sesat itu supaya terhindar dari penyelewengan dan sentiasa berada di atas jalan yang betul tanpa sebarang keraguan.

ISU PELAJAR IPTA/IPTS ISLAM


GEJALA SOSIAL DI KALANGAN MAHASISWA IPT

Islam telah mensyariatkan bahawa lelaki dan wanita wajib diasingkan bermula dari umur sepuluh tahun lagi, lelaki dan wanita yang bersaudara pula perlu dipisahkan dari tempat tidur mereka. Manakala bagi lelaki dan wanita yang bukan bersaudara pula perlu ditegah dari bergaul setelah mereka mencapai akil baligh.

Mengapa Islam mensyariatkan sedemikian rupa? Apakah rahsia disebaliknya? Sesungguhnya setiap apa yang Allah S.W.T syariatkan kepada umat manusia bukanlah suatu yang sia-sia bahkan disebaliknya penuh dengan pelbagai hikmah dan kebaikan yang tidak dapat diketahui melainkan dengan penafsiran serta penelitian yang tinggi. Pelbagai perkara buruk boleh berlaku seandainya kita tidak menjaga batasan di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita ini antaranya ia akan mengakibatkan pelbagai masalah sosial sebagaimana yang ada disebut di atas bermula dengan zina, kemudian membawa kepada hamil sebelum nikah dan akhirnya timbullah kes pembuangan bayi yang tidak berdosa.

Apa yang menyedihkan ialah masalah sebegini sebenarnya telah tersebar di kalangan para remaja serta muda-mudi di negara ini. Lebih mengejutkan lagi ianya turut melanda mahasiswa dan mahasiswi di IPT yang mana mereka ini adalah dikategorikan sebagai intelektual yang merupakan pelapis negara yang bakal menerajui kepimpinan sekaligus diharapkan dapat membangunkan dan memajukan negara ini pada suatu masa akan datang. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dilihat menjadi penyumbang kepada masalah kebejatan akhlak dalam masyarakat Malaysia kini khususnya di kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Masalah sosial merupakan gejala abnormal atau tingkah laku yang tidak bermoral dan bersifat merosakkan. Ini bermaksud semua aktiviti yang membawa kepada keruntuhan akhlak perlu dihindari kerana boleh merosakkan peribadi dan nilai-nilai baik dalam diri seseorang individu. Dalam konteks kehidupan mahasiswa, antara masalah yang begitu ketara dihadapi oleh mereka ialah kegagalan menguruskan perasaan dan emosi dengan betul dan berkesan. Inilah yang membawa kepada tindakan-tindakan seperti keinginan berdua-duaan tanpa had waktu, menghabiskan masa dengan berbual di telefon, internet atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms), keluar bersama sehingga lewat malam malah ada yang pergi ke disko atau pub-pub. Perlakuan di atas sebenarnya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh membawa kepada perlakuan yang lebih sumbang dan tidak bermoral.

Terdapat mahasiswa universiti atau kolej yang terlibat dalam perbuatan zina, kehamilan luar nikah, seterusnya pengguguran bayi sehingga menjejaskan pelajaran yang sepatutnya diutamakan. Malangnya ada antara mahasiswa yang terlibat dalam gejala tidak bermoral ini terdiri dari pelajar pintar yang menjadi harapan semua pihak terutama ibu bapa dan keluarga. Perbuatan yang dilakukan tidak hanya mencemar maruah diri tetapi turut mencemarkan nama ibu bapa di mata masyarakat. Insiden yang berlaku ini sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa mereka masih tidak mempunyai prinsip yang teguh dan benteng diri yang kukuh untuk berdepan dengan cabaran dunia remaja.

Agama Islam meletakkan beberapa prinsip, panduan, larangan dan batasan tertentu dalam soal pergaulan membabitkan lelaki dan wanita bukan mahram. Kegagalan mempraktikkannya serta sikap tidak mengendahkan ajaran agama menyebabkan ramai yang terlanjur melakukan maksiat dan dosa. Mengenai pengetahuan dan penghayatan agama ini, Arnida Abu Bakar menegaskan bahawa, seharusnya perkara ini adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajarkan anak-anak dengan pendidikan agama yang secukupnya bermula sejak mereka masih kecil lagi.

Memberikan pendidikan agama sejak kecil dengan secukupnya akan memberikan kesan yang amat mendalam. “Anak-anak akan kenal tentang asal-usul akidah dan prinsip tauhid dan iman dengan baik seterusnya membuka mata anak-anak tentang pentingnya ketaatan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya dengan mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. “Dengan itu, anak-anak akan faham tentang hukum-hakam yang terdapat dalam Islam serta mereka dapat membiasakan diri mereka dengannya sejak kecil lagi. “Anak-anak akan dapat mengenal hukum-hukum ibadah beserta kepentingannya dan membiasakan diri untuk menunaikannya sejak kecil lagi dan supaya mereka membesar dalam ketaatan kepada Allah S.W.T, menunaikan hak-Nya, mensyukuri segala nikmat-Nya, berlindung diri kepada-Nya, yakin kepada takdir-Nya serta berserah diri kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan,” tegasnya lagi.

Peranan semua pihak sememangnya diperlukan dalam mengurangkan seterusnya membendung gejala yang tidak sihat ini dari terus merebak ke dalam saraf-saraf sosial mahasiswa pada masa akan datang.

ISU REMAJA ISLAM



REMAJA TERIKUT TREND BARAT

Pada zaman globalisasi ini, negara-negara di seluruh dunia yang terpisah oleh jarak ribuan kilometer dianggap sangat dekat kesan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh sebab itu, apabila berlaku suatu perkembangan terbaru di sesebuah negara, terutamanya negara maju, maka perkembangan itu akan melanda negara-negara lain dengan pantas. Golongan remaja yang paling mudah terikut-ikut trend semasa terutamanya golongan remaja Islam. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.

Hal ini terjadi kerana remaja memang memiliki sifat suka meniru dan cepat terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik. Mereka memiliki sikap suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir panjang tentang kebaikan atau keburukannya. Antara aspek kehidupan yang kerap berubah termasuklah gaya berpakaian. Remaja suka meniru cara masyarakat Barat berpakaian sebagaimana yang ditonton di televisyen. Oleh sebab itu, bilangan remaja yang berani berpakaian menjolok mata hingga mendedahkan aurat semakin meningkat. Sesungguhnya hal ini merupakan suatu trend yang kurang sihat bagi masyarakat timur yang terkenal dengan adab sopan.

Selain itu, remaja mudah terikut-ikut dengan trend pergaulan remaja Barat yang saban hari ditonton di skrin televisyen. Mereka turut mengamalkan kehidupan bebas tanpa memikirkan batasan agama atau adat. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ini memang suatu fenomena yang tidak sihat kerana keadaan ini mudah menjerumuskan remaja ke lembah hubungan seks bebas yang terang-terang melanggar hukum agama dan dapat mencetuskan masalah sosial yang lain, misalnya kes pembuangan bayi.

Perkembangan dunia hiburan di Barat turut juga menjadi ikutan remaja hari ini. Mereka meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.

Dalam hal ini, setiap remaja mestilah mengetahui apabila olahraga merupakan penyegar rohani dan ilmu pengetahuan merupakan penyegar akal fikiran, nescaya seni adalah penyegar dan santapan bagi jiwa. Hanya yang dimaksudkan dengan seni di sini adalah suatu bentuk karya yang dapat mengangkat martabat manusia, bukan menjerumuskannya ke dalam kehinaan.

Apabila jiwa seni itu adalah rasa dengan adanya keindahan dan keni’matan dalam jiwa penghayatinya, hal inilah yang selalu diperhatikan dan ditekankan oleh kebanyakan ayat Al-Qur’an. Kita dengan tegas diingatkan kepentingan unsur keindahan dan kecantikan yang telah Allah SWT ciptakan pada setiap makhluk-Nya, selain unsur manfaat atau faedah yang juga ada padanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya.” (As-Sajadah:7).

Islam menghidupkan cita rasa keindahan dan mengukuhkan seni keindahan, tetapi dengan syarat tertentu yang membawa kemasyarakatan dan tidak mendatangkan kerosakan.Setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.

ISU PELANCONGAN ISLAM



MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN


Pelancongan keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasarkan pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28).


Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid. Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu. Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat. Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia yang mempunyai hampir 3 juta pengunjung ke sana.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi. Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain. Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa. Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri.Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka. Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18).