Wednesday, October 15, 2008

ISU SUKAN ISLAM

ATLET WANITA BANGGA BERTUDUNG

RAMAI di kalangan atlet wanita Islam pada Sukan Olimpik Beijing memecahkan stereotaip Barat, dengan membuktikan pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang pembabitan mereka dalam aktiviti sukan dan kehidupan.

“Tudung tidak sekali-kali memberikan masalah kepada saya,” kata pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah bagi atlet wanita Islam selepas memenangi pingat emas Sukan Asia Barat 2006 kepada Reuters, Isnin lalu.

Temasya berkenaan yang bermula 8 Ogos lalu, akan memperlihatkan ramai wanita Islam berazam untuk mematuhi etika berpakaian berlandaskan agama ketika memburu emas di kejohanan berprestij itu.

Enam atlet wanita yang bertudung adalah dari Mesir, tiga atlet Iran, masing-masing seorang dari Afghanistan dan Yaman, mengambil bahagian dalam acara larian, dayung, taekwondo dan memanah.Ruqaya dan pendayung Iran, Homa Hosseini mendapat penghormatan kerana terpilih sebagai pembawa bendera bagi negara masing-masing pada majlis pembukaan sukan itu.

Dalam Islam, tudung adalah etika pakaian yang wajib bagi wanita dan bukannya simbol keagamaan, sebagaimana dikritik hebat di Barat, kebelakangan ini.Januari lalu, seorang pelari Islam dari sekolah tinggi Amerika ditarik keluar daripada pertandingan peringkat tempatan kerana memakai tudung.

Pada Mac tahun lalu, penggubal dasar Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), menyatakan tudung dilarang dalam sukan bola sepak.Peraturan itu dibuat selepas seorang pemain Islam Kanada digantung daripada sukan bola sepak kerana memakai tudung. Seorang kanak-kanak Kanada berusia 11 tahun juga dinafikan daripada menyertai acara Judo kebangsaan November tahun lalu kerana memakai tudung.Pemain pedang Mesir, Shaimaa El-Gammal, bagi kali ketiga di temasya Olimpik, memakai tudung bagi kali pertama dalam perlawanan. “Apabila saya berlawan pedang, saya bangga kerana saya seorang Islam,” kata wanita berusia 28 tahun itu. Ia sangat simbolik bagi wanita di negara saya,” katanya.Bagi Shaimaa, pemakaian tudung memberikan kekuatan dalaman kepadanya.“Orang melihat kami memakai tudung dan berfikir kami menunggang unta. Tetapi wanita Islam boleh melakukan apa saja yang mereka kehendaki,” katanya.

Kaum wanita di tanah air Ruqaya, iaitu di Bahrain sangat bangga dengan pelari negara terbabit yang menjadi perintis dalam temasya Olimpik itu.Sesetengah mereka bersepakat untuk mereka dan menjahit tudung khas berbentuk aero dinamik bagi membantu atlet mereka beraksi cemerlang dalam sukan terbabit.“Di Bahrain anda membesar dengannya,” kata Ruqaya, yang selalu memakai tudung berwarna putih dan merah, menyerupai warna bendera negaranya.“Kami mempunyai wanita yang menjadi duta, doktor dan juruterbang. Pada saya, ia adalah kebebasan,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

hm...tgk....wanita tersebut memakai tudung dibangga-banggakan sedangkan dia memakai baju ketat yang menampakkan bentuk badan wanita tersebut... bukankah ini juga dilarang di malaysia?? wajarkah perkara ini dalam pandangan islam?? beginikah cara untuk menilai seseorang hanya melalui pemakaiannya?? apakah signifikannya perkara ini dibangga-banggakan?? fikir sendiri... sbb saya sendiri menyaksikan pertandingan olahraga tersebut di tv dahulu...